UMNO Baru - Kuala Lumpur

GERAKAN MENGHAKIS KEWIBAWAAN PARTI BERSATU OLEH UMNO Siri 2

KEDAH

Situasi ini semakin ketara apabila UMNO di peringkat Negeri masing-masing telah mula mengatur kedudukan kerusi UMNO tanpa penyertaan BERSATU. Di Kedah misalnya, kesemua 15 Ketua UMNO Bahagian menolak kerjasama dengan BERSATU. Agak menarik apabila Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap iaitu Dato’ Ghazali Ibrahim dan Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, bekas MB Kedah merangkap Penasihat UMNO Bahagian Alor Setar didakwa berperanan penting untuk menolak BERSATU di sana.

Sumber dalaman mengesahkan Ahmad Bashah yang mempunyai hubungan akrab dengan Johari Ishak telah mengatur program retreat UMNO peringkat Negeri dan Bahagian sebagai spin dan propaganda menyemai sentimen anti BERSATU. Beberapa strategi telah dilaksana antaranya character assasination ke atas imej Tan Sri Annuar Musa menerusi infografik dengan tagline “jurucakap BERSATU”, meningkatkan like, komen dan share di FB Dato’ Sri Najib bersabit tuntutan moratorium dan KWSP serta mengeksploit isu-isu semasa yang berpotensi menjejaskan imej PAS selaku parti berteraskan Islam.

Sungguhpun kesemua 15 KUB UMNO di Kedah menolak permuafakatan politik dengan BERSATU, namun 6 KUB iaitu Jerlun, Padang Terap, Pendang, Sungai Petani, Jerai dan Baling bersikap agak neutral kerana memegang jawatan di dalam Kerajaan dan GLC. Senario ini diyakini boleh berubah selari dengan perkembangan pembentukan Majlis Presiden PN yang turut melibatkan perbincangan mengenai agihan kerusi ditandingi dalam PRU akan datang.

KUALA LUMPUR

Gerakan menolak BERSATU bagaimanapun tidak begitu ketara menonjol di Kuala Lumpur kerana setakat ini UMNO lebih yakin dengan permuafakatan politik MN bersama PAS. Oleh kerana itu, tidak wujud sebarang kerjasama UMNO – BERSATU di Kuala Lumpur di peringkat Negeri mahupun Bahagian. Situasi serupa juga berlaku di pihak BERSATU Kuala Lumpur yang tidak menjalin sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO di mana-mana peringkat. 

Persepsi negatif UMNO ke atas BERSATU kekal menebal susulan tindakan segelintir pemimpin UMNO yang beralih sokongan kepada BERSATU sehingga membawa kepada pembentukan PN. Dari sudut survival politik sendiri, UMNO Kuala Lumpur menzahirkan keyakinan untuk meraih sokongan pengundi tanpa bantuan BERSATU yang tidak mempunyai platform kukuh dari aspek kekuatan jentera serta bilangan keahlian yang kecil berbanding UMNO.

Oleh kerana itu, kredibiliti pemimpin BERSATU sesekali turut dikecam kepimpinan UMNO. Dato’ Seri Johari Abd Ghani, KUB Titiwangsa / Pengerusi Perhubungan UMNO WP misalnya sering menyindir Dato’ Seri Rina Harun, Ahli Parlimen Titiwangsa kerana gagal menunaikan tanggungjawab kepada pengundi di sana. Namun ianya ditaksir atas faktor persaingan kerusi tersebut dalam PRU akan datang.

NEGERI SEMBILAN

Gerakan menolak BERSATU oleh UMNO Negeri Sembilan agak mirip dengan gerakan UMNO Kuala Lumpur apabila tiada sebarang bentuk kerjasama membabitkan kedua-dua parti berkenaan di sana. Ketetapan ini dibuat setelah memgambil kira suara ahli-ahli di peringkat akar umbi yang kekal tidak dapat menerima BERSATU dalam perjuangan politik negara.

Oleh kerana itu, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri kekal dengan pendirian untuk tidak menyertai PN selain turut menyuarakan keraguan berhubung pendirian PAS dalam MN. Penolakan BERSATU di Negeri Sembilan semakin terserlah apabila UMNO Negeri Sembilan konsisten untuk mempertahankan kesemua 3 kerusi Parlimen dan 15 kerusi DUN yang dimenangi dalam PRU Ke-14. Pada masa sama, 2 lagi kawasan Parlimen iaitu Kuala Pilah dan Tampin serta 7 kerusi DUN seperti Klawang, Lenggeng, Sikamat, Ampangan, Pilah, Labu dan Paroi turut disasarkan dalam PRU akan datang. Difahamkan, komitmen ini telah dimasukkan ke dalam Blue Print UMNO Negeri Sembilan dan dibentangkan kepada Pengarah Pilihan Raya UMNO Malaysia pada 22 NOV 2020.

Justeru, pertembungan dijangka akan berlaku berikutan hasrat Dato’ Eddin Syazlee Shith, Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Negeri Sembilan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Pilah selain turut mensasarkan kerusi Parlimen Tampin serta 5 kerusi DUN yang dimiliki UMNO (Pertang, Seri Menanti, Chembong, Bagan Pinang dan Gemencheh).

MELAKA

UMNO Melaka berkeyakinan membentuk Kerajaan Negeri tanpa penglibatan BERSATU. Congakan awal UMNO membayangkan penguasaan di kesemua 13 kerusi DUN dimenangi dalam PRU Ke-14 selain berpotensi melebarkan pengaruh di 2 lagi DUN iaitu Rembia dan Pengkalan Batu.

Atas faktor tersebut, UMNO Melaka menolak sebarang bentuk kerjasama dengan BERSATU sebaliknya menawarkan kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya kepada PAS serta memeterai pelantikan AJK MN di Parlimen Tangga Batu susulan pembentukan Jawatankuasa Teknikal MN Negeri Melaka antara UMNO dan PAS. Penolakan terhadap BERSATU juga semakin kuat apabila UMNO bercadang meletakkan calon Bebas iaitu Senator Datuk Wira Koh Nai Kwang, Ketua Bahagian MCA Alor Gajah bagi menyaingi calon BERSATU di kerusi Parlimen berkenaan.

Di sebalik perkembangan tersebut, hubungan dingin kepimpinan Negeri BERSATU iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohodeen, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka dengan Ahli Parlimen Alor Gajah dan Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga dari BERSATU sedikit sebanyak turut mempengaruhi persepsi UMNO terhadap BERSATU Melaka. Reaksi dari kalangan Ketua Bahagian BERSATU Melaka juga menyuarakan rasa kurang senang dengan perilaku Datuk Mohd Rafiq yang gemar bergerak bersendirian bagi mempromosikan diri.

Image by Syariman M’kini.

Facebook Comments

Related Posts