UMNO Baru - Kuala Lumpur

GERAKAN MENGHAKIS KEWIBAWAAN PARTI BERSATU OLEH UMNO SIRI 3

SABAH

Dalam konteks Negeri Sabah, penguasaan 14 kerusi DUN oleh UMNO dalam PRN Ke-16 menjadi faktor utama penolakan BERSATU di sana. Sungguhpun terpaksa akur dengan pelantikan Dato’ Sri Panglima Hj. Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri, namun ianya bersandarkan kepada beberapa syarat termasuk pelantikan Dato’ Sri Bung Mokhtar sebagai Timbalan Ketua Menteri dan peruntukan jawatan Menteri serta kedudukan pemimpin UMNO di beberapa GLC.

Sesungguhnya, ikatan pembentukan Kerajaan Negeri Sabah agak longgar kerana usaha memperlekeh kredibiliti Ketua Menteri sentiasa digerakkan termasuk sabotaj ke atas program-program anjuran Kerajaan Negeri. Tidak cukup dengan itu, UMNO juga menolak sebarang bentuk kerjasama dengan BERSATU dalam setiap aktiviti yang dianjurkan di peringkat Bahagian. 

Sumber dalaman turut mengaitkan usaha segelintir kepimpinan UMNO Sabah seperti Dato’ Sri Bung Mokhtar dan Datuk Seri Panglima Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak, Pengarah Gerakan Pilihan Raya UMNO membincangkan pembentukan Kerajaan Negeri Gabungan UMNO – WARISAN bersama Datuk Seri Panglima Shapie Apdal, Presiden WARISAN sebagai gerakan menyingkirkan BERSATU di Sabah. Ke arah itu juga, spin dan propaganda media turut dijana menerusi cybertrooper khusus bagi menghakis keyakinan rakyat terhadap BERSATU Sabah.

SELANGOR

Menyedari cabaran besar buat UMNO bagi menyaingi PH di Selangor, UMNO Negeri telah memperkemaskan lagi MN melalui penganjuran program-program secara bersama bagi mendekati pengundi tanpa pembabitan BERSATU. Penolakan terhadap BERSATU ini semakin ketara apabila tiada sebarang penambahan kerusi DUN ditawarkan kepada BERSATU kecuali di 7 DUN yang dimenangi dalam PRU Ke-14. 

UMNO tampak lebih selesa bergerak atas platform BN dengan penyertaan PAS yang diperkukuh menerusi agihan kerusi Parlimen dan DUN yang menguntungkan UMNO. Di peringkat Parlimen, BN bakal bertanding di 15 kerusi dengan pecahan 8 UMNO, 4 MCA dan 3 MIC, sementara PAS 4 dan BERSATU 3. Ketidakseimbangan ini juga berlaku di peringkat DUN apabila BERSATU hanya diperuntukkan 7 kerusi sedia ada berbanding UMNO 19 kerusi, MCA 14, MIC 3 dan PAS 13. Sungguhpun ianya belum dimuktamadkan, namun isu pengagihan kerusi ini dijangka bakal mempengaruhi permuafakatan politik UMNO – BERSATU di Selangor.

PAS pula ditaksir kekal selesa bersama UMNO apabila perbincangan mengenai pengagihan kerusi di peringkat Kawasan tidak melibatkan penyertaan BERSATU. Namun bagi UMNO sendiri, keperibadian serta sifat “taat” PAS ke atas dasar yang diputuskan parti sesekali menimbulkan kebimbangan berhubung kesungguhan PAS mendokong permuafakatan MN berikutan kedudukan PAS di dalam PN.

PAHANG

UMNO Pahang terus berkeyakinan mempertahankan mandat pentadbiran Negeri Pahang. Selain mendapat sokongan sebilangan besar pengundi Melayu luar bandar dan kawasan Felda, permuafakatan politik bersama PAS juga diterima positif di semua peringkat pimpinan, ahli dan penyokong kedua-dua parti.

Kekuatan politik UMNO di Pahang yang telah menjadi teras sokongan pengundi Melayu menjadi alasan kukuh bagi menolak penyertaan BERSATU di sana. Bagi UMNO, BERSATU tidak mempunyai keupayaan dan jentera bagi menyaingi UMNO yang kini memiliki 14 Bahagian, 1,135 Cawangan dan 242,805 keahlian berbanding BERSATU yang hanya digerakkan oleh 12 Bahagian, 214 Cawangan dan 16,452 ahli berdaftar. 

Track record suram BERSATU dalam PRU Ke-14 yang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen dan DUN turut menyumbang kepada penolakan BERSATU di Pahang. UMNO sebaliknya berjaya memenangi 8 dari 10 kerusi Parlimen ditandingi serta menang 24 kerusi DUN daripada keseluruhan 31 kerusi. Sementara BERSATU gagal memenangi sebarang kerusi sungguhpun bertanding di 6 kerusi Parlimen dan 9 kerusi DUN. Oleh kerana itu, usaha BERSATU mendapatkan beberapa kerusi untuk ditandingi dalam PRU Ke-15 menerima tentangan hebat UMNO yang komited untuk mempertahankan kerusi sedia ada.

Secara tersirat, penolakan BERSATU di Pahang berkait rapat dengan keyakinan UMNO mengekalkan status quo tanpa penglibatan lain-lain parti selain keengganan UMNO mengorbankan kerusi ditandingi kepada BERSATU dalam PRU Ke-15. Setakat ini, 11 Bahagian UMNO menolak BERSATU secara total kecuali 3 Bahagian iaitu Lipis, Kuala Krau dan Bera yang sedikit terikat kerana mempunyai jawatan di peringkat Kabinet. Mengambil kira situasi semasa, permuafakatan politik UMNO – BERSATU bakal berdepan laluan sukar sehingga berpotensi mencetuskan kebarangkalian pertembungan 3 penjuru.

PERAK

Penyingkiran Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku Menteri Besar Perak dalam krisis politik Perak adalah bukti jelas betapa UMNO sememangnya tidak berniat untuk membentuk persefahaman bersama BERSATU. Timbalan Presiden BERSATU itu hilang sokongan majoriti sewaktu usul undi percaya kepimpinan beliau dibentangkan pada sidang DUN Negeri pada 4 DIS 2020.

Selain menyaksikan usaha menolak BERSATU di peringkat Negeri, gerakan ini juga didakwa didalangi Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak merangkap Pengarah Pilihan Raya UMNO. Sumber dalaman mengesahkan pembabitannya menerusi Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri pada 15 Nov dan 30 Nov yang secara terbuka membayangkan peluang UMNO untuk kembali menguasai Putrajaya sekiranya membentuk kerjasama politik dengan PH.

Cadangan ini kononnya dibuat setelah melihat kesulitan yang akan dihadapi UMNO – PAS – BERSATU dari sudut pengagihan kerusi. Gabungan bersama PH pula diyakini mampu memperoleh majoriti besar jika bersandarkan kepada konsensus agihan kerusi ketiga-tiga komponen PH yang menggunapakai formula ketika PRU Ke-14.

Cadangan ini pada dasarnya diterima oleh 7 Ketua UMNO Bahagian iaitu Padang Rengas, Bagan Serai, Tanjung Malim, Tambun, Larut, Kampar dan Pasir Salak. Pendirian 11 lagi Ketua Bahagian UMNO dari Lenggong, Gerik, Kuala Kangsar, Bukit Gantang, Parit, Lumut, Parit Buntar, Gopeng, Tapah, Tambun dan Bagan Datuk pula sebaliknya namun tidak begitu menonjol. Baki 6 lagi Ketua UMNO Bahagian seperti Beruas, Taiping, Sungai Siput, Batu Gajah, Ipoh Barat dan Ipoh Timur pula bersifat neutral berikutan dominasi DAP di kesemua kerusi berkenaan.

Dari perspektif MN pula, kesemua 24 Ketua UMNO Bahagian mengakui lebih selesa bekerjasama dengan PAS dalam PRU akan datang. Namun demikian, sebarang konsensus yang akan dicapai menerusi pembentukan Majlis Presiden PN tempoh hari ditaksir mampu mempengaruhi keputusan di saat akhir yang merujuk kepada perbincangan membabitkan pengagihan kerusi.

Facebook Comments

Related Posts