UMNO Baru - Kuala Lumpur

DATUK SERI IDRIS HARoN PEMIMPIN MENDAHULUI MASA

Kesan daripada kegagalan sebarang parti memperoleh majoriti yang jelas bagi membentuk sebuah kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), telah secara tidak langsung “mengundang” pihak Istana Negara selaku Ketua Negara “campur tangan” bagi pembentukan sebuah kerajaan pasca PRU15. Kemelut 6 hari selepas keputusan PRU15 di umumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menyaksikan pada 25 November 2022, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Di Pertuan Agong selaku Perdana Menteri Malaysia ke-10 bagi mengetuai sebuah kerajaan yang kini dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai Kerajaan Perpaduan.

Konsep Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar punya rupa wajah anggota yang sangat menarik. Apa yang menarik? Menarik disini merujuk kepada penyertaan Parti Pertubuhan Kebangsaaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau lebih sinonim dengan panggilan UMNO (United Malays National Organisations) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai oleh Parti Tindakan Demokrasi (DAP) yang merupakan seteru ketat UMNO sejak zaman-berzaman. 

Manakan tidak, ini kerana sejak zaman-berzaman juga UMNO sering melabelkan DAP sebagai Parti Chauvanis (anti Melayu) & yang lebih ampuh lagi UMNO kata DAP parti “Komunis”.

Keanggotaan UMNO ke dalam Kerajaan Perpaduan dilihat bertentangan dengan pendirian parti tersebut yang menjunjung prinsip “No Anwar, No DAP & No Bersatu” dalam persaingan politik antara parti-parti tersebut. 

Prinsip tersebut bukanlah dicanang dan ditinta oleh UMNO di Restoran Nasi Kandar Kudu Jalan Tunku Abdul Rahman, tetapi merupakan ketetapan yang digarap dan dinukilkan dalam satu majlis Perhimpunan Tahunan Agong UMNO sebelum turun padang di PRU-15, iaitu satu ketetapan tertinggi yang di kenali dalam kalangan ahli UMNO sebagai “Keputusan PAU”. Keputusan PAU adalah sebuah keputusan “keramat”, ianya bukanlah keputusan yang boleh disamakan untuk memakan “PAU Kacang Ali” yang popular itu.

Tapi dua hari lepas, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Hj Zahid Hamidi telah mengeluarkan satu kenyataan ringkas yang menjelaskan bahawa ketetapan “No Anwar, No DAP & Bersatu” itu hanyalah sebuah ketetapan yang bersifat “taktikal” bagi menghadapi pelawanan PRU-15 sahaja. Dalam erti kata lain, Presiden UMNO, bukan untuk sekian kalinya telah “mereformasikan” ketetapan PAU sedarjat dengan keputusan untuk memakan “PAU Kacang Ali”.

Bercakap soal penyertaan UMNO ke dalam Kerajaan Perpaduan, yakni bersedia untuk “tidur sebantal bersama Komunis” perlu dilihat dalam kerangka pemikiran “diluar kotak”. 

Dalam keadaan negara yang sedang berhadapan dengan pelbagai krisis kenegaraan dan kemasyarakatan, keputusan UMNO untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, telah dialu-alukan oleh ahli UMNO termasuk UMNO Melaka.

Hal ini meingatkan kita akan keputusan Datuk Seri Idris Harun, mantan Ketua Menteri Melaka, yang membuat keputusan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Oktober tahun 2021 ekoran daripada krisis dalaman UMNO Melaka yang terkenal dengan tagline “Two Lion on one Hill”, dan seterusnya pada Pilihan Raya Negeri Melaka tahun yang sama (2021), beliau bertanding selaku calon Parti Pakatan Harapan di kerusi Dewan Undangan Negeri Asahan. Sebagaimana yang kita semua tahu, beliau telah tewas.

Keputusan Datuk Seri Harun Idris, menyertai PKR dan seterusnya bertanding atas tiket Pakatan Harapan di PRN Melaka 2021, telah menerima kecaman hebat daripada pemuka-pemuka UMNO Melaka. Pemuka-pemuka UMNO Melaka telah melabelkan tindakan Datuk Seri Idris Harun tersebut umpama “Sang Mendaliar yang bersekongkol dengan Portugis” dengan menjual “maruah Melayu” kepada bangsa asing; beliau turut dinistakan sebagai “pengkhianat bangsa” & pelbagai lagi tohmahan huduh yang sehuduhnya.

Walhal Datuk Seri Idris Harun menjelaskan bahawa keputusan nya untuk menyertai PKR dan bersama PH adalah untuk membawa dimensi baru kepada perjuangan politik Malaysia, iaitu politik kesepaduan dan perpaduan dalam kalangan pelbagai bangsa warga Malaysia.

Hari ini, pemuka-pemuka UMNO Melaka yang sama telah sekukuhnya menyokong keputusan Presiden untuk “tidur sebantal” dengan sebuah parti yang mana Datuk Seri Idris Harun adalah anggotanya. Kalau masih menjunjung adat-Malayu, pemuka-pemuka UMNO Melaka tersebut sepatutnya berterima kasih dan mencium tangan Datuk Seri Idris Harun yang telah sebenarnya menunjuk jalan kepada “Perpaduan” terlebih dahulu daripada mereka semua.

Cuba bayangkan, jika Datuk Seri Idris Harun yang mengepalai kapal perang Melaka pada PRU-15 yang lalu, dengan wajah dan aspirasi “perpaduan” yang dibawa oleh beliau, barang tentu, UMNO Melaka tidak akan tergadai sehelai sepinggang kerusi-kerusi tradisi UMNO Parlimen Melaka. Pemuka-pemuka UMNO Melaka tersebut wajar mengambil sikap “gentlemen” untuk meletakkan jawatan ekoran daripada kekalahan UMNO Melaka pada PRU-15 yang umpama “Padang Jarak Padang Tekukur” itu. Sudah tentu respon balas terhadap saranan ini akan bersifat sinikal, “Presiden pun tak gentlemen, apalah sangat kami di Melaka ini”.

Dalam konteks inilah sikap dan tindak tanduk Datuk Seri Idris Harun boleh diumpamakan sebagai “Mendahului Masa” demi untuk Malaysia yang lebih sejahtera. Pemimpin sebegini wajar diangkat ke persada kepimpinan negara yang selayaknya. Beliau juga selayaknya memimpin Melaka dalam darsawarsa UMNO Melaka yang tenat dan pemimpin banyak lemak serta kuat sakau ini.

Hang Jebat Tidak, Hang Tuah Pun Bukan

1.12.2022

Facebook Comments

Leave a comment

You must be logged in to post a comment.