- Gerakan politik di Perak jelas hasil kerja segelintir kepimpinan UMNO. Dendam kesumat terhadap Perdana Menteri yang tidak mengiktiraf sokongan UMNO sehingga membawa kepada pembentukan Perikatan Nasional dan penguasaan di Putrajaya telah membutakan hati UMNO demi agenda peribadi.
- UMNO sanggup memperjudikan nasib rakyat Perak yang menantikan khabar positif dalam pembentangan Belanjawan Negeri yang semakin tertekan dengan pandemik Covid-19. Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 yang direncana khusus demi mendepani impak Covid-19 gagal diselami UMNO yang nyata tidak dapat menerima kekalahan memalukan yang tercetus hasil gelombang kebangkitan rakyat pada PRU Ke-14.
- Sungguhpun sudah kembali bersama membentuk Kerajaan, namun kepimpinan UMNO seperti Najib dan Zahid yang terikat dengan kes-kes Mahkamah berskala besar mulai mencongak strategi bagi melepaskan diri dari tindakan perundangan. Ke arah itu, strategi politik direncana secara halus dengan penglibatan segelintir kepimpinan yang menyokong mereka.
- Niat UMNO hanya satu. Jatuhkan Tan Sri Muhyiddin, kemudian kembali menguasai Putrajaya. Setelah gagal memperoleh kedudukan berdarjat tinggi di kalangan barisan Kabinet, Zahid mulai merancang strategi baru bagi menekan Muhyiddin. Untuk itu, terhasillah gerakan sulit bagi menjatuhkan BERSATU di Perak tanpa pengetahuan kepimpinan UMNO yang lain. Bagi Zahid, kejayaan UMNO merampas Perak adalah sebagai isyarat kepada Perdana Menteri bahawa Kerajaan PN hanya mampu bertahan dengan dokongan UMNO. Tanpa UMNO, PN tidak memiliki apa-apa.
- Di peringkat awal, UMNO menjangkakan BERSATU akan tunduk dengan gerakan politik di Perak. Namun, hubungan akrab PAS – BERSATU beserta sokongan segelintir kepimpinan UMNO seperti Annuar Musa telah merencatkan perancangan jahat mereka. Tambahan pula, pendirian Sultan Perak yang menuntut agar politiking dihentikan telah memaksa UMNO bertindak di luar kelaziman.
- Pakatan Harapan khususnya DAP yang menjadi seteru utama kedua-dua parti berteraskan kaum tersebut kini cuba dimomokkan pula sebagai pilihan terbaik bagi pembentukan Unity Government di Perak. Namun, gerakan tersebut nyata ditolak oleh pemimpin dan ahli kedua-dua parti. Kononnya, cadangan tersebut yang diilhamkan sendiri oleh Zahid yang giat berusaha mendapatkan sokongan 2 ADUN DAP, 2 ADUN AMANAH dan seorang ADUN PKR bagi memperoleh majoriti mudah di DUN PERAK.
- Sumber dalaman UMNO mengesahkan pembabitan Zahid sebagai individu penting di sebalik gerakan politik di Perak yang dirancang tanpa pengetahuan serta restu kepimpinan UMNO yang lain. Rupa-rupanya gerakan ini adalah strategi awal Zahid dan Najib untuk merealisasikan pembentukan Kerajaan bersama PH dengan meneruskan sokongan ke atas Anwar Ibrahim sepertimana SD terdahulu.
- Strategi ini jika berjaya, akan diteruskan di Johor dan Melaka. Bagi mencapai matlamat tersebut, usaha memancing sokongan kepimpinan politik negeri sedang giat dijalankan selain memperhebatkan spin dan propaganda media berhubung keperluan membuktikan keabsahan Kerajaan Negeri. Di Johor, kedudukan kerusi DUN agak genting dan berpotensi mencipta kejutan. Dengan hanya menguasai 29 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi, kedudukan PN Johor nyata berisiko jika mengambil kira sentimen dalaman di antara BN, BERSATU dan PAS.
- Perilaku luar tabii UMNO merancang kerjasama dengan PH bagaimanapun berdepan tentangan hebat. Keberadaan pemimpin UMNO ultra-Melayu tidak memungkinkan ianya berlaku. Apatah lagi dengan penyertaan DAP yang secara terbuka menuntut kesamarataan dengan berselindung di sebalik hak sama rata.
- Bagi segelintir kepimpinan UMNO yang rasional, mereka berusaha menyelesaikan permasalahan ini menerusi meja rundingan. Tidak cukup dengan itu, timbul cadangan agar Peja diberikan jawatan di Kabinet dan Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri. Pelantikan ini didakwa bagi mengimbangi demand UMNO. Sejauh mana kesahihannya, kita sama-sama nantikan.
- Namun ianya merupakan tamparan hebat kepada Zahid jika ianya menjadi kenyataan. Sudahlah tidak memegang sebarang jawatan di Kabinet, Naib Presiden pula nak lawan bos. Ketika ini dikhabarkan hubungan Zahid dan Ismail Sabri agak tegang sehingga memaksa Zahid merancang strategi baru bagi menggagalkan rancangan tersebut. Ini kerana hanya jika UMNO kembali menjadi Kerajaan, Zahid dan Najib berpeluang untuk bebas dari kesnya di Mahkamah.
- Namun ketegasan Sultan Perak menolak politiking, memaksa UMNO untuk menyembah BERSATU dan PAS setelah usaha UMNO membentuk kerjasama dengan PH berdepan tentangan keras orang Melayu. Konsensus yang dicapai menerusi perjumpaan kepimpinan utama UMNO, PAS dan BERSATU akhirnya bersetuju mencalonkan Saarani sebagai MB Perak yang baru. Keputusan berkenaan sekaligus menamatkan kemelut krisis Perak serta mengekalkan Kerajaan PN. Jelas, strategi UMNO akhirnya makan diri.
- Di atas kertas, pelantikan Saarani sebagai MB Perak tampak berjaya meredakan ketegangan politik di Perak. Namun sebaliknya, titah Sultan semasa istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Saarani secara terbuka membayangkan kemurkaan Sultan dengan gerakan politik di Perak sehingga mengabaikan kesejahteraan rakyat. Rakyat memerhati perilaku serta gelagat pemimpin politik dan ianya akan diterjemah menerusi kertas undi dalam PRU akan datang.
- Kebimbangan ini diakui kepimpinan UMNO, namun sikap taksub ke atas pemimpin seperti Najib dan Zahid telah membataskan mereka untuk bertindak melangkaui pemimpin. Beberapa kepimpinan tertinggi UMNO juga telah membayangkan agar sudah tiba masanya untuk UMNO kembali meletakkan matlamat asal parti sebagai keutamaan demi memastikan kelangsungan undi orang Melayu. Tidak mustahil, kemunculan UMNO baru yang dibarisi pemimpin ultra-Melayu akan menolak Zahid dan Najib sekiranya berterusan memomokkan cadangan pembentukan Kerajaan bersama PH.
- Tapi Zahid dan Najib, sememangnya tidak pernah serik. Gagal di Perak tidak sesekali merencatkan gerakan mereka untuk menumbangkan Perdana Menteri. Johor dan Melaka bakal menjadi pertaruhan serupa sepertimana berlaku di Perak. Terbaru, Zahid kononnya kembali merancang untuk memastikan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dibuat di Parlimen. Sejauh mana perancangan tersebut, ia adalah sesuatu yang menarik untuk diikuti.
Nantikan episod seterusnya dalam umnobaru.org
Facebook Comments