UMNO Baru - Kuala Lumpur

GERAKAN MENGHAKIS KEWIBAWAAN PARTI BERSATU OLEH UMNO Siri 4

JOHOR

Sikap curiga mencurigai sesama komponen PN di Johor menyaksikan ikatan permuafakatan politik yang rapuh. Tambahan pula, UMNO diakui memiliki pengaruh yang cukup kuat di Johor sehinggalah dinafikan PH ketika gelombang kebangkitan rakyat pada PRU Ke-14.

Penguasaan UMNO di Johor yang selama ini didokong majoriti pengundi Melayu cukup yakin dapat mempertahankan Kerajaan Negeri tanpa bantuan mana-mana parti khususnya BERSATU. Bagi UMNO, gabungan bersama PAS menerusi MN sudah mencukupi untuk mendapatkan mandat selesa dalam PRU akan datang. Pandangan mengenainya seringkali diutarakan barisan kepimpinan Ketua-Ketua UMNO Bahagian seperti Datuk Seri Ahmad Maslan, Tan Sri Shahir Samad, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Dr. Puad Zarkashi.

Adalah tidak menghairankan apabila UMNO Johor komited untuk bertanding di semua kerusi DUN kecuali Pagoh yang disandang Tan Sri Muhyiddin. Setakat ini, tidak nampak sebarang tanda positif yang menjurus kepada gabungan UMNO – BERSATU di Johor.

PERLIS

Sepertimana di Pahang, UMNO Perlis kekal dominan dengan sokongan utuh khususnya di kalangan pengundi Melayu. Dengan hanya 3 kerusi Parlimen, UMNO diyakini tidak mampu digugat parti-parti lain dalam PRU akan datang termasuk BERSATU yang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen atau DUN semasa PRU Ke-14.

Dari sudut survival politik, UMNO Perlis pantas menafikan perkembangan pengaruh BERSATU di sana yang ditaksir hanya akan memberi keuntungan politik kepada BERSATU. Ke arah itu, UMNO Perlis telah menggerakkan usaha mendekati dan menyelami permasalahan rakyat semaksimum mungkin sebagai persediaan menjelang PRU Ke-15.

Beberapa tokoh utama UMNO Perlis seperti Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dan Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin antara yang giat menutup sebarang bentuk kerjasama dengan BERSATU di peringkat Negeri. Sungguhpun ianya tidak disuarakan secara terbuka, namun platform perjumpaan dan mesyuarat dalaman menyaksikan tentangan hebat kedua-dua tokoh berkenaan setiap kali menyentuh mengenai kerjasama dengan BERSATU.

KELANTAN

Sepertimana di lain-lain Negeri, UMNO Kelantan turut berasa kurang selesa dengan penguasaan BERSATU dalam Kerajaan PN. Mereka menyifatkan BERSATU tidak bertindak adil dari segi agihan jawatan dalam Kabinet kerana harus diakui bahawa UMNO dan PAS adalah pencetus kepada pembentukan PN. Tanpa UMNO dan PAS, mustahil Tan Sri Muhyiddin dapat membentuk Kerajaan PN.

Sebagai tanda bantahan, kalangan kepimpinan UMNO Bahagian telah menggerakkan beberapa strategi bagi menggagalkan pengaruh UMNO di Kelantan. Berkait pengagihan kerusi, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri bertegas untuk UMNO kekal dengan status quo jumlah kerusi ditandingi. Oleh kerana itu, BERSATU perlu berunding dengan PAS sekiranya berhasrat bertanding di Kelantan selain dinafikan cubaan bertanding di kerusi Parlimen Tanah Merah, Jeli, Ketereh, Machang dan Gua Musang.

Selain usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri yang dikemukakan Ahli Parlimen Gua Musang, gerakan menolak BERSATU juga agak ketara berlaku di peringkat Bahagian dan Cawangan. Dato’ Abd Ghani Harun, Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas misalnya telah mengeluarkan arahan kepada semua AJK dan ahli UMNO Bahagian / Cawangan agar tidak sesekali bekerjasama dengan BERSATU. Wujud juga strategi mengeksploit isu-isu sensitif bagi menyemarakkan tentangan penyokong UMNO terhadap BERSATU yang dipelopori Datuk Ab Aziz Derashid, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Jeli / ADUN Kuala Balah dan Datuk Mohd Adnan Kechik, ADUN Bukit Bunga.

Arahan penggantungan UMNO Bahagian Tanah Merah juga mempunyai kaitan dengan pengaruh Dato’ Sri Ikmal Hisham Abd Aziz yang cukup kuat di peringkat akar umbi di Parlimen berkenaan. Tindakan Dato’ Sri Ikmal keluar parti bagi menyertai BERSATU merupakan cabaran bagi UMNO Bahagian untuk memastikan kerusi berkenaan kekal milik UMNO. Kesemua indikator ini memperlihatkan betapa UMNO Kelantan cukup kuat menolak kerjasama dengan BERSATU dalam PRU Ke-15.

TERENGGANU

Kekuatan dan penguasaan UMNO serta PAS yang telah lama bertapak di Terengganu sememangnya diakui banyak pihak. Cubaan BERSATU melebarkan pengaruh di Terengganu setakat ini jelas gagal menyaingi gabungan tersebut.

Demi mengekalkan kedudukan, UMNO Terengganu sejak awal lagi telah menafikan pengaruh BERSATU yang didakwa hanya bersandarkan kepada populariti UMNO. Selain tidak merestui sebarang hubungan politik dengan BERSATU, UMNO Terengganu juga bertekad untuk tidak berkompromi dengan agihan kerusi dalam PRU akan datang yang dicapai semasa Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi Pilihan Raya antara UMNO Pusat dan Negeri pada 12 NOV 2020. Ini termasuk perancangan UMNO untuk mencabar BERSATU di semua kawasan ditandingi.

Penolakan BERSATU di Terengganu begitu ketara sehinggakan UMNO Negeri membuat ketetapan untuk tidak menyertai Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JKKK). Kesemua pimpinan UMNO Bahagian dilarang untuk mengemukakan sebarang pencalonan untuk pertimbangan di peringkat Pusat.

Naratifnya, usaha BERSATU Terengganu untuk bersaing dalam PRU akan datang berdepan laluan sukar. Apa yang pasti, UMNO tidak akan sesekali menyantuni BERSATU yang disifatkan “makan tuan”.


Facebook Comments

Related Posts