Polemik politik Malaysia cukup rumit dan sentiasa dipenuhi dengan kejutan yang menyaksikan gelagat individu berkepentingan ‘bekerja keras’ membentuk strategi politik baharu. Langkah politik terbaharu UMNO yang berterusan memberikan tekanan ke atas BERSATU mengundang persoalan mengenai bentuk permainan politik yang cuba diketengahkan parti itu serta kesannya kepada keutuhan Kerajaan PN.
Gerakan UMNO ini adalah kesinambungan di atas rasa tidak puas hati ekoran dakwaan diketepikan oleh Tan Sri Muhyiddin. Selain hanya diberikan jawatan Kabinet yang kurang penting, pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15, konflik pelantikan Ketua Menteri dan sabotaj kerusi BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, UMNO mendakwa dibuli BERSATU.
Tuntutan UMNO ini boleh dianggap sebagai ugutan serta isyarat jelas bahawa pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk persaingan sesama sendiri di antara UMNO dan BERSATU serta PAS yang kini lebih memihak kepada BERSATU. Ini kerana akar umbi UMNO bimbang mereka akan semakin terpinggir dalam PRU akan datang.
Di sebalik gerakan politik terbaharu UMNO itu, terdapat pandangan keputusan itu sebenarnya bukan bersifat kolektif kerana ia tidak dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti terlebih dahulu. Jelas, ianya membuktikan ketidaksefahaman pendapat antara pemimpin-pemimpin UMNO memang wujud.
Ia diburukkan lagi dengan hubungan mesra PAS – BERSATU beserta sokongan segelintir kepimpinan UMNO seperti Tan Sri Annuar Musa yang secara lantang menolak sebarang bentuk penjajaran baharu yang melibatkan kerjasama BN – PH. Agak ketara ketika ini adalah berkait pengagihan kerusi Parlimen dan DUN yang jelas dimonopoli UMNO. Mengambil kira krisis politik tersebut, strategi licik direncana khusus bagi menghakis wibawa BERSATU dan menolak PAS serta segelintir pemimpin UMNO yang pro PN.
Usaha ini juga dirancang menerusi pembentukan cybertroopers yang bergerak aktif di laman-laman sosial whatsapp di bawah seliaan Johari Ishak, auditor Mykmu.Net yang juga kenalan rapat Najib. Setakat ini, 2 kumpulan whatsapp telah dibentuk iaitu “The Warrior” yang bertindak sebagai koordinator di peringkat Pusat serta “1K Warrior Kedah/Perlis” bagi Zon Utara. The Warrior yang bertanggungjawab ke atas kesemua Ketua Cybertroopers Negeri / Bahagian akan membekalkan bahan-bahan politik untuk sebaran media sosial. Difahamkan, keahlian semasa kumpulan berkenaan yang ditubuhkan pada 5 Nov 2020 adalah seramai 143 orang. 1K Warrior Kedah/Perlis yang ditubuhkan pada 4 Nov 2020 pula merekodkan keahlian 170 orang.
Jika diperhalusi, gerakan seumpama semakin berkembang di peringkat Negeri yang menyaksikan UMNO menolak BERSATU secara total khususnya dari sudut pengagihan kerusi. Kalangan pimpinan, ahli serta penyokong di peringkat akar umbi turut senada menolak kerjasama dengan BERSATU yang disifatkan sebagai pengkhianat terutama bekas pemimpin UMNO yang bertindak keluar parti bagi membentuk PN di peringkat Persekutuan. Perjanjian kerjasama politik UMNO – PAS menerusi pembentukan Muafakat Nasional pula masih kabur berikutan masih tiada sebarang ikatan rasmi dimeterai di sebalik sikap mesra PAS terhadap BERSATU.
Nantikan Siri Kedua dalam masa terdekat.
Imej daripada syariman M’kini.